Thursday, June 28, 2012

TIADA HUKUMAN TERHADAP PEGAWAI MACC YANG MENYEBABKAN KEMATIAN TBH, TINDAKAN DISIPLIN UNTUK TUTUP SUARA RAKYAT

Kami sekeluarga, amat tidak berpuas hati, dan kecewa dengan kesudahan di mana tiga orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disabitkan dalam kes jenayah kematian Teoh Beng Hock oleh Suruhanjaya Diraja, dikenakan hanya dengan tindakan disiplin. Malah, kami sangat kecewa dengan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Najib Razak.
Dua tahun sebelum ini, PM Najib Razak pernah berjanji kepada keluarga, malah mengumumkan secara terbuka, bahawa beliau akan sedaya upaya menyiasat apa yang berlaku sebenarnya dalam kejadian kematian Beng Hock. Malah beliau berikrar bahawa mereka yang bersalah akan dihukum, dan tidak akan dilepaskan sewenang-wenangnya. Ikrar tersebut masih berdengung di tepi telinga, namun PM Najib pula kelihatan bagai melepaskan batuk di tangga ketika mengendalikan kes ini. Kami amat terkilan dengan kesudahan sedemikian. Sepanjang perbicaraan selama tiga tahun, tidak pernah kami patah hati dalam usaha untuk mengembalikan kebenaran, menegakkan keadilan untuk Beng Hock. Dari inkues (yang terpaksa kami terima, kerana PM menjanjikan satu jawapan yang memuaskan kami), kami menahan kepiluan untuk mengeluarkan mayat Beng Hock dari kuburnya; hinggalah pertemuan bahawa luka pada bahagian lehernya berlaku sebelum jatuh dari bangunan (Beng Hock jatuh dalam keadaan separa pengsan atau pengsan sepenuhnya). Segala-gala ini disimpulkan dengan satu keputusan bernama open verdict.
Kemudian kami berulang-alik dari utara ke selatan, kempen tandatangan, dan akhirnya kami dibalas dengan satu suruhanjaya diraja yang tempang. Tawaran polis Hong Kong untuk membantu dalam siasatan ditolak. Suruhanjaya Diraja menolak laporan yang disempurnakan oleh pakar yang menganalisa insiden jatuh bangunan, menolak pakar forensik dari Australia yang diundang Majlis Peguam. Lebih-lebih lagi, apabila laporan doktor psikologi Australia menyimpulkan bahawa Beng Hock tergolong dalam kategori "berisiko rendah untuk bunuh diri", suruhanjaya diraja pula menyimpulkan Beng Hock di-bunuh diri dengan hujah yang tidak berasas - sememangnya memerit hati kami. Apakah kes jenayah boleh ditangani dan diselesaikan dengan tindakan disiplin? Apakah itu sahaja janji PM, malah kemampuan seseorang peneraju kerajaan?
Sememangnya nyawa manusia adalah mustahak. Bolehkah sesebuah negara mengendalikan pegawai yang disabit kes jenayah dengan sebegitu? Apakah ia bermaksud kerajaan Barisan Nasional melihat nyawa manusia bagai lalang, kehakiman sesebuah negara sedang di-bunuh diri? Dan, di manakah keadilan? Tiga tahun kami harungi dalam perjalanan mencari kebenaran. Kami tidak akan pasrah begitu sahaja di tengah-tengah jalan. Kami tidak akan berhenti di sini - berhenti pada tindakan disiplin yang "tidak masuk akal", "berniat untuk menyelindung" dan "zalim". Kami memohon agar mereka yang terlibat tidak sekadar dikenakan tindakan disiplin, tetapi tindakan undang-undang, untuk mengembalikan kebenaran. Kes ini melibatkan nyawa manusia, dan ia merupakan kes jenayah, bukan masalah disiplin. Tindakan disiplin tidak boleh digunakan untuk mengendali kes jenayah, dan ia bukan sejenis hukuman. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment